Thursday, April 18, 2013


PENDAHULUAN
Pendidikan Kesihatan ialah disiplin ilmu yang membolehkan murid mendapat pengalaman pembelajaran secara berterusan untuk membuat keputusan, meningkatkan literasi kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Murid dididik supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dalam aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani. Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan yang terancang dapat meningkatkan potensi individu ke tahap kesihatan optimum.

MATLAMAT
Pendidikan Kesihatan membolehkan individu mengawal kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan persekitaran menerusi pengetahuan, kemahiran, amalan gaya hidup sihat dan bersikap positif untuk mencapai kesejahteraan hidup serta jangka hayat panjang yang berkualiti.

OBJEKTIF
Murid boleh :
(i)     mempertingkatkan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan diri, keluarga,  
        masyarakat serta persekitaran;
(ii)    mempamerkan kemahiran mencegah masalah kesihatan dan penyakit; dan
(iii)   menguasai keupayaan bagi menghadapi dan menangani masalah serta isu berkaitan  
     meymeimoh  dengan kesihatan.



FOKUS
Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial iaitu PEERS (75%), pemakanan (15%) dan pertolongan cemas (10%). Sejumlah 35 waktu dalam penjadualan persekolahan setahun diagihkan untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan bagi Tahap Satu dan Tahap Dua sekolah rendah.
Kandungan Pendidikan Kesihatan memberi penekanan terhadap gaya hidup sihat bersesuaian dengan ciri dan keperluan murid serta disusun mengikut tiga modul utama iaitu :

Modul 1 : Kesihatan Fizikal
Modul ini menekankan aspek perkembangan fizikal serta penjagaan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Fokus diberi kepada kesihatan diri dan reproduktif, pemakanan dan penyalahgunaan bahan.

Modul 2 : Kesihatan Mental, Emosi dan Sosial
Modul ini menekankan aspek perkembangan mental, emosi dan sosial serta mengurus risiko, konflik dan perubahan dalam kehidupan. Fokus diberi kepada pengurusan mental dan emosi, kekeluargaan serta perhubungan.

Modul 3 : Kesihatan Persekitaran
Modul ini menekankan aspek kesihatan dan keselamatan persekitaran. Fokus diberi kepada pencegahan penyakit, keselamatan dan pertolongan cemas.

Selamat Datang Ke Pendidikan Kesihatan Tahun 2